Tuesday 31 January 2012

KEMBARA SEORANG HAMBA



Catatan Sayyid Qutub yang diambil dari buku Kembara Seorang Hamba. Catatan ini saudara memperlihatkan fenomena manusia yang mengalami kekosongan hidup walaupun disisi mereka penuh dengan pelbagai nikmat dan kesenangan. Namun, kekosongan jua yang menyelubungi diri mereka. Sama-samalah kita renungi dan hayati.

“Kekosongan amat pahit itu memburu umat manusia seperti momok-momok yang menakutkan. Walaupun mereka lari daripadanya, namun ia tetap berakhir dengan kekosongan yang amat pahit. Mereka tidak menemui diri mereka kerana tidak mengetahui matlamat sebenar kewujudan mereka. Mereka juga tidak merasai kebahagiaan kerana tidak menemui sistem Illahi yang menyelaraskan harakat antara alam buana dan kehidupan manusia juga undang-undang al-Wujud.

Umat manusia hari ini bagaikan hidup dalam rumah maksiat yang amat besar. Kerakusan ini dapat dilihat di setiap siaran TV, radio dan akhbar, pertandingan ratu cantik, kedai-kedai arak, kegilaan mereka kepada tubuh-tubuh bogel dan mungil serta aksi yang memberahikan. Juga sasaran-sasaran yang tidak sihat di dalam sastera, seni dan seluruh media massa di samping sistem riba dalam kehidupan ekonomi, yang membayangkan kegilaan kepada harta yang tiada infinitinya.

Wujud pula keruntuhan akhlak dan keruntuhan sosial yang telah mengancam setiap jiwa, rumah tangga, sistem hidup dan masyarakat insan. Sekilas pandang sahaja sudah cukup untuk membayangkan kesudahan episod malang yang bakal menimpa manusia di bawah naungan jahiliah ini.

Mereka juga sedang mengalami pereputan dan kelarutan sifat-sifat insaniah kerana terlalu penat mengejar kepuasan nafsu haiwaniah dan dorongan kebinatangan untuk bersama-sama haiwan di alamnya yang rendah. Sedangkan haiwan lebih bersih, lebih mulia dan lebih suci daripada mereka kerana mereka hidup dengan panduan fitrahnya yang tegas, tidak bergoyang dan tidak pula busuk seperti busuknya nafsu-nafsu keinginan manusia, apabila terlepas daripada ikatan dan peranan akidah dan kembali semula kepada jahiliah yang Allah telah selamatkan daripadanya. Malah Allah telah membangkitkan nikmatNya kepada kaum muslimin kerana ia telah membersihkan mereka daripada kekotoran jahiliah”.